Monday 12 October 2015

4 MARTABAT JIWA

Di dalam jiwa kita ada empat penyakit.

Yang pertama penyakit dipanggil pada martabat haiwan.

Yang kedua pada martabat syaitan.

Yang ketiga keraguan.

Dan yang paling halus adalah pada martabat “Ananiah” atau keakuan diri.

Pada martabar yang pertama iaitu MARTABAT HAIWAN, jiwa pada martabat ini hidupnya, jiwanya hanya fikir tentang makan, minum, tidur, nafsu berpasangan dan sifat mahu menang, tidak mahu kalah. Jadi sifat-sifat ini kalau kita lihat semua ada pada haiwan. Haiwan fikir tentang makan, minum, tidur, kepuasan nafsu dan mahu menang. Inilah yang Allah Taala telah sebut di dalam Al-Quran.

Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raaf 7:179)

Jadi kerana apa? Kerana kalau kita lihat situasi manusia sekarang ini, mereka kadang-kadang lebih rakus daripada haiwan itu sendiri. Kalau haiwan dia mungkin makan apa yang telah difitrahkan oleh Allah kepada dia tetapi pada hari ini manusia kadang-kadang makan kadang-kadang perkara atau pun makanan sesuatu bangkai yang tak perlu yang tidak boleh mereka makan sekalipun.  Sebenarnya mereka telah melanggar fitrah cara hidup seorang manusia itu sendiri. Begitu juga nafsu. Nafsu berpasangan diraikan yakni kita melawan jenis. Tetapi ada manusia-manusia lebih teruk daripada haiwan, mengadakan hubungan satu jenis. Ini jiwa-jiwa paling rendah. Jiwa-jiwa pada martabat haiwan.

Pada martabat yang kedua iaitu MARTABAT SYAITAN pula, ada mereka yang jiwa mereka ini terperangkap dengan jiwa-jiwa syaitaniah. Penyakit syaitan ini apa dia? Jiwa-jiwa orang yang berada pada penyakit pada martabat ini dia ni sombong, riak, dengki, angkuh, dendam, fitnah dan sebagainya. Jadi jiwa-jiwa dia ini terperangkap dengan kekotoran-kekotoran hal ini. Walaupun kadang-kadang jasad mereka hebat, maksudnya zahiriah mereka hebat beribadah tetapi jiwa mereka tidak lepas lagi daripada perasaan-perasaan ini.

Kemudian pada martabat yang ketiga iaitu MARTABAT KERAGUAN, ada mereka yang terperangkap dengan penyakit ragu dengan janji Allah. Mungkin dia ni sudah hidupnya tidak lagi buat maksiat, dia sudah baik, jiwanya pun sudah baik. Tetapi disebalik jiwa yang baik itu ada perasaan yang halus dalam jiwanya itu dibisikkan keraguan dengan janji Allah. Dia ragu-ragu dengan janji Allah. 

Saya suka mengambil satu kisah, kisah yang mana pernah berlaku kepada seorang ustaz, ketika sakaratul mautnya, ketika hampir-hampir dia nak meninggal, dia diuji dengan satu perasaan. Perasaan adakah Allah mengampunkan dosa aku yang lepas. Dia datang keraguan itu. Sebelum ini dia orang-orang biasa, orang-orang awam, kemudian dia jadi ustaz. Dan menjalani kehidupan seorang yang baik, berakhlak tetapi bila nak mati dia teruji dengan perasaan betul ke Allah Taala mengampunkan dosanya? Jadi dia sudah ragu-ragu dengan janji Allah yang akan mengampunkan dosa-dosa orang yang bertaubat. Ini berlaku. Tetapi Alhamdulillah ada Tuan Guru yang menziarahinya membaiki balik keraguan-keraguan itu. Akhirnya dia meninggal dengan keadaan yang baik. Kalau itulah yang berlaku kepada kita bagaimana? Kalau kita meninggal  dalam keadaan kita ragu-ragu dengan janji Allah, ragu-ragu dengan rezeki Allah, ragu-ragu dengan jaminan Allah.

Kemudian yang halus lagi, MARTABAT ANANIAH, penyakit syirik keakuan diri. Maksudnya dia rasa aku itulah, aku yang baik, aku yang beribadah. Kalau kita biasa beribadah, ada yang terkena penyakit sombong dengan ibadah. Tetapi ada juga yang  lebih halus lagi bila dia beribadah atau pun dia buat kebaikan, datang perasaan ujub, takjub kepada diri dia. Dia rasa diri dia bagus, maknanya kalau dia berjaya kerana diri dia. Tiada kebaikan ini. Kalau aku, kalau bukan aku yang buat. Jadi dia tak sedar terperangkap dengan keakuan diri dia. 

Inilah yang telah berlaku kepada Iblis. Iblis terkena penyakit keakuan diri ini. Dulu mungkin dia tidak tahu, tapi bila mana Allah uji dia, bila Allah Taala menciptakan Nabi Adam, kemudiaan Allah perintahkan Iblis untuk sujud kepada Adam, tetapi dia tidak boleh sujud kepada Nabi Adam. Kenapa dia tak boleh sujud? Jangan nampak pada sujud itu. Inikan perintah Allah. Perintah Allah. Allah yang jadikan Iblis juga dan Allah yang jadikan Nabi Adam. Kenapa dia tak boleh nak taat? Allah Taala tanya dia kenapa dia tak boleh sujud kepada Adam? 

Dia jawab, “ana khairun minhu”. Ana, Ananiah. Aku lebih baik daripada dia. Kau jadikan aku daripada api, Kau jadikan Adam daripada tanah. Jadi point dia, dia rasa aku. Inilah, jangan terkena kepada diri kita, aku. 

Firman Allah: 
Allah berfirman, “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu”. Iblis menjawab, “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. (QS. Al A’raf:12)
Kena buang, sebab itulah dalam perjalanan zikir, antara yang kita nak buang adalah perasaan keakuan. Bila kita solat, bukan kita nampak kita yang solat. Bukan kudrat dan kekuatan kita. Sebab itu bila datang seruan untuk solat “hayya la solah” kita jawab, “la hawlawala qu wata illah billahil ali’il azim”. Tiada daya dan upaya aku untuk melakukan ibadah solat melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah. Begitu juga dalam kita nak berjaya, kita diseru  “hayya lal falah” marilah mencipta kejayaan kita jawab “la hawlawala qu wata illah billahil ali’il azim”. Tiada dan upaya aku untuk berjaya melakukan sesuatu melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah.

I Bagaiman Ubati? I

Baik, bagaimana kita nak ubat penyakit ini? Kita tidak mahu menjadi doktor yang beri tahu sahaja penyakit tetapi kita Insya Allah akan kongsi bagaimana kita nak ubati.

Yang pertama, bagaimana nak mengubati jiwa pada martabat haiwan ini? Dia kena melazimi syariat. Dia boleh makan, minum, tidur tetapi makan yang diharuskan syara’, minum yang diharuskan syara’, kadar tidur yang bagaimana, nafsu tidak dihalang tetapi bagaimana menyalurkan nafsu yang sesuai dengan kehendak syara’. Begitu juga nak menang tiada masalah, tetapi bukanlah menang yang menindas orang lain.

Baik, kemudian bagaimana nak sucikan perasaan sombong ini, riak ini dalam jiwa ini? Kena banyakkan zikir, kena banyakkan mujahadah. Kenapa mujahadah? Kerana ada beberapa penyakit, mungkin zikir itu tak padan dengan dia. Contohnya dia ini kedekut. Kedekut ini ubat dia tak lain tak bukan kena banyak sedekah saja. Dia kena banyak mujahadah dia. Mujahadah dia apa? Kena banyak sedekah. Jadi mujahadah paling besar untuk orang yang ada harta ialah ini, paling sakit pada diri dia adalah mujahadah. 

I Mujahadah I

Sebab itulah takrif mujahadah ini perkara yang kita buat berlawan dengan kehendak nafsu kita. Mungkin kalau kita suruh orang kaya itu sembahyang sunat, dia tiada masalah, tetapi nak bagi harta, infak itu yang sakit pada dia. Itulah mujahadah yang terbaik untuk dia. Mungkin untuk orang susah, bukan derma yang terbaik untuk dia, dia bukan orang berkemampuan, tetapi dia berkhidmat ke jalan Allah. 

Jadi mujahadah ini pelbagai. Di atas budi bicara, kebijaksanaan guru yang membimbing. Untuk hapuskan mazmumah, penyakit-penyakit dalam jiwa kita ini.

Kemudian, macam mana nak selesaikan ragu kepada janji Allah? Inilah kena tenggelam di dalam tauhid, betul-betul kena tenggelam. Maksudnya tauhid di sini bukan pengajian teori sahaja maksudnya hatinya bertauhid, jiwanya bertauhid, sehinggalah dia ini yakin dengan janji Allah. Sehingga hidup dia tenang, walaupun orang lain ada masalah tetapi dia  nampak masalah datang daripada Allah untuk Allah memberikan kebaikan kepada dia. Kerana Allah Taala berfirman,

“…dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui ( dengan sebenar-benar pengetahuan) “(al-Baqarah : 216)

I Ubat Syirik I

Dan macam mana nak ubati syirik keakuan diri ini? Yakni, tenggelam di dalam makrifat. Ini maksudnya, sebaiknya kena ada guru untuk membimbing kita, untuk mencapai pengenalan yang sungguh yang dalam tentang Allah, sehingga tercabut. Kadang-kadang kita tak nampak penyakit keakuan diri ini, dia terlalu halus. Kadang-kadang, guru yang ada mata hati ini melihat tindakan kita ini sebenarnya sedang meraikan akuan diri kita keegoan diri kita. Jadi marilah kita sama-sama yang belajar ini juga dan yang mengajar ini juga, sama-sama kita ikhlaskan niat kita dan Insya Allah. Jadi hal ini semua penting untuk kita faham kerana jiwa tidak terpisah daripada  diri kita. 

I Interaksi Jiwa I

Sebenarnya yang banyak berinteraksi dalam diri kita adalah jiwa kita. Jasad ini hanya  alat. Sebab itu apabila kita berkahwin, ia bukan sekadar hubungan jasad kepada jasad tetapi ia sebenarnya jiwa kepada jiwa. Kita sayang pada dia, dan dia sayang pada kita. Sebenarnya hubungan jiwa kepada jiwa. Di situlah ada cinta, ada rindu, ada keasyikan. Bagaimana kalau kita tiada cinta pada pasangan kita? Segalanya suram dan muram. Jadi sebenarnya kita berhubung dengan sesiapa pun, sahabat, kawan, ayah ibu kita, di dorong apa yang ada dalam jiwa kita. 

Oleh itu, aspek itu mestilah tidak boleh terpisah dalam perbahasan. Aspek jiwa kita bahas, kita ubat, dan aspek zahir pun kita bincangkan. Dan banyak sudah perbincangan tentang zahir ini dan kalau boleh dalam pengajian kita, kita tidak mahu pemisahan.itulah kita tekankan. Disitulah kita tekankan kepada penekan syariat dan hakikat.

Wallahu’alam.


Friday 2 October 2015

Ilmu Tauhid - Suatu Pengenalan

Berkata Syaikh Ibrahim Al Bajuri rhm:

“Wahai mereka yang baru belajar, hendaklah engkau menuntut ilmu. Sesungguhnya ilmu-ilmu lain adalah hamba kepada ilmu tauhid. Engkau belajar ilmu fiqh untuk mengesahkan sesuatu hukum, namun malangnya engkau lalai dari mengenal Tuhan yang menurunkan hukum"

Wahai Saudaraku yang mencintai jalan akhirat, memahami akidah adalah perkara yang amat penting kerana ia menentukan amal diterima atau tidak.

Aqidah dari sudut bahasa arab dari perkataan ‘’aqada’ yang beerti ikatan atau simpulan yng kukuh. Dari sudut bahasa, ianya disebut sebagai ‘itaqada dengan erti mengikat diri kepada sesuatu secara kusut. Aqidah adalah Mu’taqad yang membawa maksud perkara-perkara yang muktamad. 



"Orang hidup yang yang tidak mempunyai pegangan akidah seperti sebuah kapal yang tidak berkemudi, terapung-apung dan terumbang ambing di tengah lautan mengikuti pukulan ombak dan badai, sebentar ke kanan sebentar ke kiri, tidak tentu arahnya. Akhirnya akan terbentuk pada batu-batu karang, lalu hancur dan terbenam ke dasar laut.."

Sebelum kita masuk kepada pelajaran ilmu tauhid, adalah lebih baik diketahui terlebih dahulu pengertian tauhid, kegunaan dan tujuannya. Pengertian tauhid ialah mengesakan Allah secara mutlak baik pada dzat, sifat dan perbuatan Allah.

Tauhid adalah akar keimanan. Dengan adanya iman, maka kan baik lah semua amal, dan dengan rosaknya iman, rosak pula semua amal.

I  Ilmu Tauhid  I

Ilmu tauhid adalah ilmu yang membahas masalah ketuhanan untuk menetapkan semua kesimpulan kepercyaan agama dengan dalil yang mantap dan meyakinkan.

I  Nama-nama ilmu tauhid  I

Nama-nama lain ilmu tauhid adalah ilmu kalam, usuluddin, ilmu makrifat, ilmu akidah dan fiqh al akbar

I  Martabat dan kelebihan ilmu tauhid  I

Ilmu tauhid adalah ilmu yang paling mulia kerana ia berhubung dengan zat Allah dan Rasul-Nya s.a.w. memang di dalam dunia ini banyak sekali ilmu yang berkembang selain ilmu tauhid, akan tetapi semua ilmu hanya bermanfaat untuk menyelamatkan hal lain bukan diri seseorang. Satu-satunya ilmu yang dapat menyelamatkan diri seseorang dari kemurkaan Allah adalah ilmu tauhid.

I  Faedah Ilmu Tauhid  I

Faedah ilmu tauhid adalah melepaskan diri seseorang dari syirik dan kufur yang sangat dimurkai Allah serta mencapai makrifatullah dengan dalil-dalil yang kukuh sehingga membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Insya Allah. Ianya juga dapat menjadi benteng yang kukuh dalam menghadapi syubhat-syubhat dalam bab kepercayaan dan pemikiran. 

I  Sumber ambilan ilmu tauhid  I

Sumber ambilan ilmu tauhid adalah dari al-quran dan hadis serta dikuatkan dengan dalil-dalil akal yang waras.

I  Penyusun Ilmu Tauhid  I

Yang menyampaikan ilmu ini ialah Allah azza wa jalla sendiri lalu diamanahkan kepada utusan-Nya  untuk dikembangkan kepada seluruh manusia di dunia ini. Para Rasul bermula nabi adam a.s sehingga kepada Nabi Muhammad s.a.w membawa risalah tauhid yang sama yakni kepada kehambaan dan penyerahan kepada Allah. Ulama’ yang terawal menyusun ilmu tauhid dengan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah secara lengkap dan di ikikuti terus sepanjang zaman adalah:

Pertama I Imam Abu Hasan Al-Asyaari I

Beliau ialah Imam Abu Hasan Al-Asyaari Bin Ismail Bin Ishaq, nasabnya bersambung kepada sahabat baginda s.aw bernama Abu Musa Al-Asyaari. Beliau adalah pengasas mazhab Asyairah dalam bab aqidah. Lahir pada tahun 206 Hijrah dan wafat di Baghdad pada tahun 324 Hijrah.

Kedua I Imam Abu Mansur Al-Maturidi  I

Beliau ialah Imam Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Al-Maturidi al-Hanafi yang wafat pada tahun 333 Hijrah. Beliau adalah pengasas Mazhab al-Maturidiyyah dalam bab aqidah.

I  Tempat hantaran  I

Ilmu ini membicarakan beberapa perbahasan iaitu :

  1. Perbahasan tentang Allah (Ilahiyyat) , apa perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah

  1. Perbahasan tentang para rasul (Nubuwwat) , apa perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi rasul 
  1. Perbahasan tentang perkara yang dipedomankan melalui sumber wahyu (Sam’iyyat) yakni perbahasan berkenaan dengan apa yang dipedomankan dan ditetapokan oleh wahyu semata-mata, yang mana akal tidak mampu untuk menetapkannya tanpa didasari oleh wahyu seperti hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebagainya.

I  Hukum belajar  I

Hukum mempelajari ilmu tauhid ialah fardhu ain (wajib) bagi setiap orang yang mukallaf baik lelaki dan perempuan dengan sekurang-kurangnya mengenal apa yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan para rasul.