Thursday 19 November 2015

Kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w

Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat sekelian alam dan hadiah kepada orang-orang beriman.

Allah Taala berfirman:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

“Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat sekelian alam”
(Surah al-Anbiya’:107)
Sabda Rasulullah 

إنما أنا رحمة مهداة

“Sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan” 
(Riwayat Ibn Saad dan Al Hakim dari Abu Hurairah r.anhu)


Firman Allah Taala lagi :

لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيهِمۡ رَسُولٗا مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٍ ١٦٤

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata” (Surah Al-Imran:164)

Sesungguhnya Allah telah mengkhususkan hadiah istimewa kepada sekelian orang beriman kerana mereka mengenal hakikat nikmat risalah Muhammadiah.


Sungguhnya jua Allah telah mengutuskan Baginda s.a.w kepada sekelian manusia.

 Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةٗ لِّلنَّاسِ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٢٨ 

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)” (Surah Saba’:28)


لۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡ جَمِيعًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya” (Surah Al-A’raf:158)


Sekelian Umat telah bersepakat bahawa Baginda s.a.w adalah makhluk yang paling mulia secara mutlak. Dalil-dalil yang menjelaskan kemuliaan ini sangat banyak, antaranya ialah:


1) Allah Taala berfirman:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

“Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat sekelian alam”
(Surah al-Anbiya’:107)

Tatkala Nabi Muhammad s.a.w di utuskan sebagai rahmat sekelian alam,  sudah pasti lazim Baginda s.a.w adalah paling afdhal dari sekelian alam. 


2) Allah Taala berfirman :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةٗ لِّلنَّاسِ

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya” (Surah Saba’:28)

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada sekelian manusia tidak seperti para Nabi sebelum ini yang hanya diutuskan kepada kaum mereka.


3) Allah mengambil janji dari para Nabi dengan keimanan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan membantunya sekiranya mereka berada di zaman kerasulan Baginda s.a.w

 وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّٰهِدِينَ ٨١

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu? Mereka menjawab: Kami berikrar (mengakui dan menerimanya). Allah berfirman lagi: Jika demikian, maka saksikanlah kamu dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu” (Surah Al-Imran:81)

4) Firman Allah Taala:

وَرَفَعۡنَا لَكَ ذِكۡرَكَ ٤

“Dan kami tinggikan bagimu sebutan (namamu)” (Surah al-Insyirah:4)

Dikatakan kepada ayat itu kerana Allah Taala telah menyertakan nama Sayyiduna Muhammad s.a.w dengan namaNya di dua Kalimah Syahadah, azan, tasyahud. Tidak berpisah nama Baginda s.a.w  dengan lafzu Jalalah (Allah). Hal ini tidak pernah berlaku kepada sekelian para nabi sebelum ini. 


5) Firman Allah Taala:

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَۖ
“Barangsiapa yang mentaati Rasul (Muhammad s.a.w), sesungguhya dia telah mentaati Allah”(Surah An Nisa':80)

Allah telah mengiringi ketaatan kepada-Nya dengan dengan taat kepada Baginda s.a.w.


6) Firman Allah Taala:

يَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمۡ لِيُرۡضُوكُمۡ وَٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَحَقُّ أَن يُرۡضُوهُ إِن كَانُواْ مُؤۡمِنِينَ ٦٢ 
“Padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman” (Surah At Taubah:62)

Allah telah mengiringi keredhaanNya dengan redha Baginda s.a.w


7) Firman Allah Taala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَجِيبُواْ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan RasulNya..”(Surah An-Anfal : 24)

Allah telah mengiringi seruanNya dengan seruan Baginda s.a.w.


8) Syariatnya paling mulia dari syariat para Nabi terdahulu, sudah pasti Baginda s.a.w adalah paling mulia dari kalanga para Nabi.


9) Umat Nabi Muhammad s.a.w adalah umat paling mulia lantaran mengikut kemuliaan baginda s.a.w. Firman Allah Taala:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia” (Surah Al-Imran :110)


10) Baginda s.a.w adalah penutup para Rasul, oleh kerana itu  Baginda s.a.w Rasul paling mulia.


11) Sabda Baginda s.a.w :

أنا سيد ولد ادم يوم القيامة و لا فخر, وما من بني يومئذ ادم فمن سواه إلا تحت لوئي , وأنا أول شافع و مشفع و لا فخر

“aku adalah penghulu anak adam di hari qiamat kelak tiada sebarang kebanggaan. Di tanganku panji kepujian dan tiada kemegahan. Dan tiada dari para Nabi di hari tersebut bermula Nabi Adam a.s dan selain Nabi Adam a.s melainkan di bawah panjiku. Dan aku adalah orang pertama memberi syafaat dan aku orang pertama yang diterima syafaatnya, tiada sebarang kebanggaan” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Imam Tirmizi dan Imam Ibn Majah dari Abi Said)


12) Sabda Baginda s.a.w :

أنا قائد المرسلين و لا فخر و أنا خاتم النبيين و لا فخر وأنا أول شافع و مشفع و لا فخر

“aku adalah pemimpin para rasul, tiada sebarang kebanggaan, dan aku adalah penutup sekelian nabi dan tiada kebanggaan dan aku adalah orang pertama yang memberi syafaat dan orang pertama yang diterima syafaatnya” (Hadis riwayat Imam Ad Darami dari Jabir)




Monday 12 October 2015

4 MARTABAT JIWA

Di dalam jiwa kita ada empat penyakit.

Yang pertama penyakit dipanggil pada martabat haiwan.

Yang kedua pada martabat syaitan.

Yang ketiga keraguan.

Dan yang paling halus adalah pada martabat “Ananiah” atau keakuan diri.

Pada martabar yang pertama iaitu MARTABAT HAIWAN, jiwa pada martabat ini hidupnya, jiwanya hanya fikir tentang makan, minum, tidur, nafsu berpasangan dan sifat mahu menang, tidak mahu kalah. Jadi sifat-sifat ini kalau kita lihat semua ada pada haiwan. Haiwan fikir tentang makan, minum, tidur, kepuasan nafsu dan mahu menang. Inilah yang Allah Taala telah sebut di dalam Al-Quran.

Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raaf 7:179)

Jadi kerana apa? Kerana kalau kita lihat situasi manusia sekarang ini, mereka kadang-kadang lebih rakus daripada haiwan itu sendiri. Kalau haiwan dia mungkin makan apa yang telah difitrahkan oleh Allah kepada dia tetapi pada hari ini manusia kadang-kadang makan kadang-kadang perkara atau pun makanan sesuatu bangkai yang tak perlu yang tidak boleh mereka makan sekalipun.  Sebenarnya mereka telah melanggar fitrah cara hidup seorang manusia itu sendiri. Begitu juga nafsu. Nafsu berpasangan diraikan yakni kita melawan jenis. Tetapi ada manusia-manusia lebih teruk daripada haiwan, mengadakan hubungan satu jenis. Ini jiwa-jiwa paling rendah. Jiwa-jiwa pada martabat haiwan.

Pada martabat yang kedua iaitu MARTABAT SYAITAN pula, ada mereka yang jiwa mereka ini terperangkap dengan jiwa-jiwa syaitaniah. Penyakit syaitan ini apa dia? Jiwa-jiwa orang yang berada pada penyakit pada martabat ini dia ni sombong, riak, dengki, angkuh, dendam, fitnah dan sebagainya. Jadi jiwa-jiwa dia ini terperangkap dengan kekotoran-kekotoran hal ini. Walaupun kadang-kadang jasad mereka hebat, maksudnya zahiriah mereka hebat beribadah tetapi jiwa mereka tidak lepas lagi daripada perasaan-perasaan ini.

Kemudian pada martabat yang ketiga iaitu MARTABAT KERAGUAN, ada mereka yang terperangkap dengan penyakit ragu dengan janji Allah. Mungkin dia ni sudah hidupnya tidak lagi buat maksiat, dia sudah baik, jiwanya pun sudah baik. Tetapi disebalik jiwa yang baik itu ada perasaan yang halus dalam jiwanya itu dibisikkan keraguan dengan janji Allah. Dia ragu-ragu dengan janji Allah. 

Saya suka mengambil satu kisah, kisah yang mana pernah berlaku kepada seorang ustaz, ketika sakaratul mautnya, ketika hampir-hampir dia nak meninggal, dia diuji dengan satu perasaan. Perasaan adakah Allah mengampunkan dosa aku yang lepas. Dia datang keraguan itu. Sebelum ini dia orang-orang biasa, orang-orang awam, kemudian dia jadi ustaz. Dan menjalani kehidupan seorang yang baik, berakhlak tetapi bila nak mati dia teruji dengan perasaan betul ke Allah Taala mengampunkan dosanya? Jadi dia sudah ragu-ragu dengan janji Allah yang akan mengampunkan dosa-dosa orang yang bertaubat. Ini berlaku. Tetapi Alhamdulillah ada Tuan Guru yang menziarahinya membaiki balik keraguan-keraguan itu. Akhirnya dia meninggal dengan keadaan yang baik. Kalau itulah yang berlaku kepada kita bagaimana? Kalau kita meninggal  dalam keadaan kita ragu-ragu dengan janji Allah, ragu-ragu dengan rezeki Allah, ragu-ragu dengan jaminan Allah.

Kemudian yang halus lagi, MARTABAT ANANIAH, penyakit syirik keakuan diri. Maksudnya dia rasa aku itulah, aku yang baik, aku yang beribadah. Kalau kita biasa beribadah, ada yang terkena penyakit sombong dengan ibadah. Tetapi ada juga yang  lebih halus lagi bila dia beribadah atau pun dia buat kebaikan, datang perasaan ujub, takjub kepada diri dia. Dia rasa diri dia bagus, maknanya kalau dia berjaya kerana diri dia. Tiada kebaikan ini. Kalau aku, kalau bukan aku yang buat. Jadi dia tak sedar terperangkap dengan keakuan diri dia. 

Inilah yang telah berlaku kepada Iblis. Iblis terkena penyakit keakuan diri ini. Dulu mungkin dia tidak tahu, tapi bila mana Allah uji dia, bila Allah Taala menciptakan Nabi Adam, kemudiaan Allah perintahkan Iblis untuk sujud kepada Adam, tetapi dia tidak boleh sujud kepada Nabi Adam. Kenapa dia tak boleh sujud? Jangan nampak pada sujud itu. Inikan perintah Allah. Perintah Allah. Allah yang jadikan Iblis juga dan Allah yang jadikan Nabi Adam. Kenapa dia tak boleh nak taat? Allah Taala tanya dia kenapa dia tak boleh sujud kepada Adam? 

Dia jawab, “ana khairun minhu”. Ana, Ananiah. Aku lebih baik daripada dia. Kau jadikan aku daripada api, Kau jadikan Adam daripada tanah. Jadi point dia, dia rasa aku. Inilah, jangan terkena kepada diri kita, aku. 

Firman Allah: 
Allah berfirman, “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu”. Iblis menjawab, “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. (QS. Al A’raf:12)
Kena buang, sebab itulah dalam perjalanan zikir, antara yang kita nak buang adalah perasaan keakuan. Bila kita solat, bukan kita nampak kita yang solat. Bukan kudrat dan kekuatan kita. Sebab itu bila datang seruan untuk solat “hayya la solah” kita jawab, “la hawlawala qu wata illah billahil ali’il azim”. Tiada daya dan upaya aku untuk melakukan ibadah solat melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah. Begitu juga dalam kita nak berjaya, kita diseru  “hayya lal falah” marilah mencipta kejayaan kita jawab “la hawlawala qu wata illah billahil ali’il azim”. Tiada dan upaya aku untuk berjaya melakukan sesuatu melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah.

I Bagaiman Ubati? I

Baik, bagaimana kita nak ubat penyakit ini? Kita tidak mahu menjadi doktor yang beri tahu sahaja penyakit tetapi kita Insya Allah akan kongsi bagaimana kita nak ubati.

Yang pertama, bagaimana nak mengubati jiwa pada martabat haiwan ini? Dia kena melazimi syariat. Dia boleh makan, minum, tidur tetapi makan yang diharuskan syara’, minum yang diharuskan syara’, kadar tidur yang bagaimana, nafsu tidak dihalang tetapi bagaimana menyalurkan nafsu yang sesuai dengan kehendak syara’. Begitu juga nak menang tiada masalah, tetapi bukanlah menang yang menindas orang lain.

Baik, kemudian bagaimana nak sucikan perasaan sombong ini, riak ini dalam jiwa ini? Kena banyakkan zikir, kena banyakkan mujahadah. Kenapa mujahadah? Kerana ada beberapa penyakit, mungkin zikir itu tak padan dengan dia. Contohnya dia ini kedekut. Kedekut ini ubat dia tak lain tak bukan kena banyak sedekah saja. Dia kena banyak mujahadah dia. Mujahadah dia apa? Kena banyak sedekah. Jadi mujahadah paling besar untuk orang yang ada harta ialah ini, paling sakit pada diri dia adalah mujahadah. 

I Mujahadah I

Sebab itulah takrif mujahadah ini perkara yang kita buat berlawan dengan kehendak nafsu kita. Mungkin kalau kita suruh orang kaya itu sembahyang sunat, dia tiada masalah, tetapi nak bagi harta, infak itu yang sakit pada dia. Itulah mujahadah yang terbaik untuk dia. Mungkin untuk orang susah, bukan derma yang terbaik untuk dia, dia bukan orang berkemampuan, tetapi dia berkhidmat ke jalan Allah. 

Jadi mujahadah ini pelbagai. Di atas budi bicara, kebijaksanaan guru yang membimbing. Untuk hapuskan mazmumah, penyakit-penyakit dalam jiwa kita ini.

Kemudian, macam mana nak selesaikan ragu kepada janji Allah? Inilah kena tenggelam di dalam tauhid, betul-betul kena tenggelam. Maksudnya tauhid di sini bukan pengajian teori sahaja maksudnya hatinya bertauhid, jiwanya bertauhid, sehinggalah dia ini yakin dengan janji Allah. Sehingga hidup dia tenang, walaupun orang lain ada masalah tetapi dia  nampak masalah datang daripada Allah untuk Allah memberikan kebaikan kepada dia. Kerana Allah Taala berfirman,

“…dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui ( dengan sebenar-benar pengetahuan) “(al-Baqarah : 216)

I Ubat Syirik I

Dan macam mana nak ubati syirik keakuan diri ini? Yakni, tenggelam di dalam makrifat. Ini maksudnya, sebaiknya kena ada guru untuk membimbing kita, untuk mencapai pengenalan yang sungguh yang dalam tentang Allah, sehingga tercabut. Kadang-kadang kita tak nampak penyakit keakuan diri ini, dia terlalu halus. Kadang-kadang, guru yang ada mata hati ini melihat tindakan kita ini sebenarnya sedang meraikan akuan diri kita keegoan diri kita. Jadi marilah kita sama-sama yang belajar ini juga dan yang mengajar ini juga, sama-sama kita ikhlaskan niat kita dan Insya Allah. Jadi hal ini semua penting untuk kita faham kerana jiwa tidak terpisah daripada  diri kita. 

I Interaksi Jiwa I

Sebenarnya yang banyak berinteraksi dalam diri kita adalah jiwa kita. Jasad ini hanya  alat. Sebab itu apabila kita berkahwin, ia bukan sekadar hubungan jasad kepada jasad tetapi ia sebenarnya jiwa kepada jiwa. Kita sayang pada dia, dan dia sayang pada kita. Sebenarnya hubungan jiwa kepada jiwa. Di situlah ada cinta, ada rindu, ada keasyikan. Bagaimana kalau kita tiada cinta pada pasangan kita? Segalanya suram dan muram. Jadi sebenarnya kita berhubung dengan sesiapa pun, sahabat, kawan, ayah ibu kita, di dorong apa yang ada dalam jiwa kita. 

Oleh itu, aspek itu mestilah tidak boleh terpisah dalam perbahasan. Aspek jiwa kita bahas, kita ubat, dan aspek zahir pun kita bincangkan. Dan banyak sudah perbincangan tentang zahir ini dan kalau boleh dalam pengajian kita, kita tidak mahu pemisahan.itulah kita tekankan. Disitulah kita tekankan kepada penekan syariat dan hakikat.

Wallahu’alam.


Friday 2 October 2015

Ilmu Tauhid - Suatu Pengenalan

Berkata Syaikh Ibrahim Al Bajuri rhm:

“Wahai mereka yang baru belajar, hendaklah engkau menuntut ilmu. Sesungguhnya ilmu-ilmu lain adalah hamba kepada ilmu tauhid. Engkau belajar ilmu fiqh untuk mengesahkan sesuatu hukum, namun malangnya engkau lalai dari mengenal Tuhan yang menurunkan hukum"

Wahai Saudaraku yang mencintai jalan akhirat, memahami akidah adalah perkara yang amat penting kerana ia menentukan amal diterima atau tidak.

Aqidah dari sudut bahasa arab dari perkataan ‘’aqada’ yang beerti ikatan atau simpulan yng kukuh. Dari sudut bahasa, ianya disebut sebagai ‘itaqada dengan erti mengikat diri kepada sesuatu secara kusut. Aqidah adalah Mu’taqad yang membawa maksud perkara-perkara yang muktamad. 



"Orang hidup yang yang tidak mempunyai pegangan akidah seperti sebuah kapal yang tidak berkemudi, terapung-apung dan terumbang ambing di tengah lautan mengikuti pukulan ombak dan badai, sebentar ke kanan sebentar ke kiri, tidak tentu arahnya. Akhirnya akan terbentuk pada batu-batu karang, lalu hancur dan terbenam ke dasar laut.."

Sebelum kita masuk kepada pelajaran ilmu tauhid, adalah lebih baik diketahui terlebih dahulu pengertian tauhid, kegunaan dan tujuannya. Pengertian tauhid ialah mengesakan Allah secara mutlak baik pada dzat, sifat dan perbuatan Allah.

Tauhid adalah akar keimanan. Dengan adanya iman, maka kan baik lah semua amal, dan dengan rosaknya iman, rosak pula semua amal.

I  Ilmu Tauhid  I

Ilmu tauhid adalah ilmu yang membahas masalah ketuhanan untuk menetapkan semua kesimpulan kepercyaan agama dengan dalil yang mantap dan meyakinkan.

I  Nama-nama ilmu tauhid  I

Nama-nama lain ilmu tauhid adalah ilmu kalam, usuluddin, ilmu makrifat, ilmu akidah dan fiqh al akbar

I  Martabat dan kelebihan ilmu tauhid  I

Ilmu tauhid adalah ilmu yang paling mulia kerana ia berhubung dengan zat Allah dan Rasul-Nya s.a.w. memang di dalam dunia ini banyak sekali ilmu yang berkembang selain ilmu tauhid, akan tetapi semua ilmu hanya bermanfaat untuk menyelamatkan hal lain bukan diri seseorang. Satu-satunya ilmu yang dapat menyelamatkan diri seseorang dari kemurkaan Allah adalah ilmu tauhid.

I  Faedah Ilmu Tauhid  I

Faedah ilmu tauhid adalah melepaskan diri seseorang dari syirik dan kufur yang sangat dimurkai Allah serta mencapai makrifatullah dengan dalil-dalil yang kukuh sehingga membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Insya Allah. Ianya juga dapat menjadi benteng yang kukuh dalam menghadapi syubhat-syubhat dalam bab kepercayaan dan pemikiran. 

I  Sumber ambilan ilmu tauhid  I

Sumber ambilan ilmu tauhid adalah dari al-quran dan hadis serta dikuatkan dengan dalil-dalil akal yang waras.

I  Penyusun Ilmu Tauhid  I

Yang menyampaikan ilmu ini ialah Allah azza wa jalla sendiri lalu diamanahkan kepada utusan-Nya  untuk dikembangkan kepada seluruh manusia di dunia ini. Para Rasul bermula nabi adam a.s sehingga kepada Nabi Muhammad s.a.w membawa risalah tauhid yang sama yakni kepada kehambaan dan penyerahan kepada Allah. Ulama’ yang terawal menyusun ilmu tauhid dengan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah secara lengkap dan di ikikuti terus sepanjang zaman adalah:

Pertama I Imam Abu Hasan Al-Asyaari I

Beliau ialah Imam Abu Hasan Al-Asyaari Bin Ismail Bin Ishaq, nasabnya bersambung kepada sahabat baginda s.aw bernama Abu Musa Al-Asyaari. Beliau adalah pengasas mazhab Asyairah dalam bab aqidah. Lahir pada tahun 206 Hijrah dan wafat di Baghdad pada tahun 324 Hijrah.

Kedua I Imam Abu Mansur Al-Maturidi  I

Beliau ialah Imam Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Al-Maturidi al-Hanafi yang wafat pada tahun 333 Hijrah. Beliau adalah pengasas Mazhab al-Maturidiyyah dalam bab aqidah.

I  Tempat hantaran  I

Ilmu ini membicarakan beberapa perbahasan iaitu :

  1. Perbahasan tentang Allah (Ilahiyyat) , apa perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah

  1. Perbahasan tentang para rasul (Nubuwwat) , apa perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi rasul 
  1. Perbahasan tentang perkara yang dipedomankan melalui sumber wahyu (Sam’iyyat) yakni perbahasan berkenaan dengan apa yang dipedomankan dan ditetapokan oleh wahyu semata-mata, yang mana akal tidak mampu untuk menetapkannya tanpa didasari oleh wahyu seperti hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebagainya.

I  Hukum belajar  I

Hukum mempelajari ilmu tauhid ialah fardhu ain (wajib) bagi setiap orang yang mukallaf baik lelaki dan perempuan dengan sekurang-kurangnya mengenal apa yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan para rasul.







Tuesday 29 September 2015

Bahasa Cinta TuhanMu

Bismillahirrahmanirrahim dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sungguh, kini kita mendapat rahmat mendapat kasih sayang dengan nama sifat Allah yang Maha Pemurah. dengan sifat pemurah ini lah Dia memberi rezeki, memberi kehidupan kepada seluruh makhlukNya samada beriman atau sebaliknya.



Allah Taala tetap memberi kerana apa? kerana Allah taala ada namanya bernama ArRahman yakni  Maha Pengasih. Dia bagi apa saja. Dan Allah ada nama ArRahim yakni Maha Mengasihani yang mmberi nikmat yang khusus contohnya nikmat syurga, nikmat kemanisan iman, nikmat kebahgiaan hidup yang tidak diperolehi oleh semua manusia.
Bab rezeki atau jodoh, semua manusia diberi meskipun tidak  beriman. Allah tetap memberi kerana mereka juga hamba Allah yang Allah Taala cintai, yang Allah Taala sayangi.

Bukti kasih Sayang Allah

Ketahuilah, tidak ada bukti kasih sayang Allah yang paling besar melainkan Allah Taala sudah mengutuskan Nabi kita s.a.w di dunia ini untuk memperkenalkan dirinya kepada kita untuk menyebarkan tauhid kepada umat manusai dan menyebarkan apa yang belum  disebarkan oleh nabi-nabi sebelum ini iaitu cara hidup yang menyeluruh.

Inilah yang dibawa oleh Nabi. Sekiranya kita bertanya lagi, ’ apa bukti Allah sayang kepada kita. Katakan lah ‘Allah taala telah utuskan Nabi sebagai rahmat kepada sekelian alam.

Allah Taala berfirman:

“Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekelian alam” (Al Anbiya’: 107)

Saya, alam dan sesiapa sahaja akan mendapat rahmat Allah sama ada dia melayu, cina atau yahudi sekalipun apabila mereka mengikut Baginda s.a.w. ya, mereka mengecapi nikmat ArRahman. dan dengan  nama ArRahman jua, kasih sayang Allah lebih luas dari murkaNya.  Kita kena ingat sebab itu bila kita hidup ini kita mesti yakin akan kasih sayang Allah.  Bagaimana perolehinya? Melalui pengisian tauhid dalam jiwa.

Sebagai contoh, orang-orang yang mahu bertaubat kepada Allah. Apabila mereka tidak yakin akan kasih sayang Allah, dia merasakan Allah tidak akan ampunkan dia. Tatkala itu, dia rasa tiada keperluan lagi bertaubat. “untuk apa bertaubat? Allah Taala tak ampunkan dosa aku juga”.
Sekilas pandang, nampak macam baik, nampak macam tawadhu’ tetapi inilah yang dikatakan tipudaya halus dalam diri dia sendiri.  Iblis mencucuk bisikan dalam jiwanya. Kerana apa dia rasa begitu? kerana dia tak yakin akan sifat kasih sayang Allah walhal Allah Taala boleh ampunkan walau sebesar lautan sekalipun, sebesar gunung sekalipun sekiranya kita benar-benar ikhlas bertaubat kepada Allah. Yakinilah,  In Sha Allah.

Taubat

Taubat sangat penting kerana ia permulaan menuju Allah. Mulakan dengan taubat yang  bersungguh-sungguh,  kalau kita bertaubat lalu terlanjur lagi melakukan kesilapan, teruskan taubat.  Sesekali, jangan kita merasakan “ah tak perlu bertaubat lagi, nanti sudah taubat, terlanjur lagi bagaiman? Seperti main-mainkan taubat, mainkan Tuhan.

Teruskan dan lazimi taubat, memang mungkin untuk kali pertama kali kedua kita bertaubat, berlaku hal ehwal malam bertaubat siang buat dosa, atau siang bertaubat malam diulangi semula dosa. Tetap teruskan taubat sehingalah Allah akan mencampakkan perasaaan hilang  gemar atau cenderung melakukan maksiat hasil kesungguhan kita bertaubat kepada Allah. Disitulah rahmat pertolongan Allah turun dalam jiwa kita hingga tercabut perasaan seronok kita kerjakan maksiat yang kita pernah nikmati dahulu.

Maka teruskan bertaubat In sha Allah, mungkin berlaku keadaan,  kita buat dosa, kemudian taubat, kemudian terbuat dosa lagi, maka taubat lagi. Yakinlah siapa tahu hikmah Allah, Allah Taala mengambil nyawa kita tatkala kita sedang bertaubat. Bukan diambil nyawa tatkala kita sedang menikmati maksiat. In sha allah wajib yakin akan rahmat  Allah. Berputus asa sesekali jangan.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar 39:53)

Dia Yang Menguasi Arasy

Firman Allah:

“Iaitu (Allah) Ar Rahman, yang menguasai Arasy” (Thoha : 5)

Guru kami menafsirkan Tuhan yang bersifat kasih sayang yang menguasai menguasai arasy dan segala pemerintahan. Dengan nama yang mencerminkan sifat Ar Rahman, Allah mentabir sekelian alam. Tiada Dia memerintah sifat al-Qahar ( yang memaksa ). Sekiranya datang al-qahar, Ia datang dari berserta Ar Rahman.

Bila disebut Allah ada nama Al-Qahar, bukan semata-mata Allah Allah bersifat mengerasi atau memaksa. Al-Qahar atau nama-nama lain datang manifestasi Ar Rahman Ar Rahim dalam pelbagai wajah. Sebagai contoh, seorang Ibu memaksa anaknya melakukan sesuatu yang baik. Paksa si ibu bukan kerana ibu itu pemaksa, tetapi kerana sayang si ibu kepada anaknya, untuk mendidik anaknya. Paksa kerana sayang. Dari sayang dan cinta akan anak, lahir paksa untuk menunjukkan manifestasi Cinta ibu kepada anak, bukan semata-mata ibu itu pemaksa.

Murka Allah ?

Sifat marah atau murka Allah tidak tergolong dalam salah satu dari Asmaul husna seperti sifat ar rahman, as-syabur, al wali dan seumpama. Sifat-sifat pengasih, penyabar, pemaaf, pemelihara itu adalah sifat-sifat yang sentiasa tetap dan kekal adanya pada zat Allah sehinggakan sifat murka atau marah Allah bukan satu sifat yang tetap bagi-Nya. Murka adalah sebahagian kepelbagaian wajah asma ar rahman ar rahimNya.

Sebagai contoh, seorang Ibu memarahi anaknya. Marah si ibu bukan kerana ibu itu pemarah, tetapi kerana sayang si ibu kepada anaknya, untuk mendidik anaknya. Marah kerana sayang. Dari sayang dan cinta akan anak, si ibu mesti memarahi untuk menunjukkan manifestasi Cinta ibu kepada anak, bukan semata-mata ibu itu pemarah. Jua, keramahan si ibu hanya sekali sekala iaitu apabila anaknya melakukan kesalahan. Kemarahan tersebut bukanlah suatu sifat yang tetap dan berdiri sendiri.
Betapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana terlalu dimanjakan ibubapa yang mungkin hanya memahami Kasih Sayang itu tiada marah.

Allah menguji hambaNya kerana sayang, Allah murka untuk menzahirkan rahmatNya yang lebih luas. Fahami bahasa cinta TuhanMu!

Dari Abu Hurairah, dari Nabi S.A.W bersabda :- "Ketika Allah telah menciptakan makhluk-Nya, Allah menulis dalam kitab-Nya, dan kitab itu ada diatas Singasana-Nya (Arasy): Sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan kemurkaan-Ku. (HR Muslim) 
Dari Ibnu Syihab, Sesungguhnya Sa'id bin al-Musayyab menceritakan kepadanya, sesungguhnya Abu Hurairah berkata : "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :- "Allah membuat kasih sayang sebanyak 100 bahagian, lalu Allah memegang 99 bahagian dan menurunkan 1 bahagian kasih sayang ke dunia, sehingga semua makhluk saling mengasihi, termasuk seekor binatang mengangkat kakinya kerana khuatir anaknya akan terpijak." (HR Muslim)


Sungguh, Kerana ArRahman seluruh kehidupan atas dunia ini mendapat nikmat dari Allah!

Saturday 19 September 2015

Ilmu Menyembah Allah

Firman Allah :

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku” (Al-Zariyaat:56)

Siapa yang menyembah Allah? Manusia? Apabila manusia menyembah Allah, maka segala unsur diri manusia wajib menyembah dan mentauhidkan Allah pada setiap turun naik nafas. Manusia terdiri dari unsur Jasad, Akal, Jiwa dan Rohani.

Maka hendaklah Jasad, Jasad yang menyembah Allah. Maka hendaklah Akal, Akal yang menyembah Allah. Maka hendaklah Jiwa, Jiwa yang menyembah Allah. Maka hendaklah Rohani, Rohani yang menyembah Allah.

Bagaimana JASAD yang menyembah Allah?

Jasad yang menyembah Allah adalah Jasad yang tunduk kepada Allah, dengan melaksanakan ibadah Jasadiah seperti solat, haji, puasa umrah, zakat dan seumpama.

Bagaimana AKAL yang menyembah Allah?

Akal yang menyembah Allah adalah Akal yang mempelajari ilmu tauhid yang benar yakni Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Ringkasan dan kesimpulan pengajian tauhid Martabat akal (ilmu kalam).


Ringkasan & Kesimpulan Pengajian Tauhid Kalam


PERTAMA:  Allah Taala wujud pada dzatnya.

KEDUA:  Allah diluar sistem alam misalnya jarak, masa, tempat, arah, jirim dan jisim. Hal ini semua tidak boleh dinisbahkan kepada Allah.

KETIGA:  Allah Taala diluar sistem manusia misalnya berhajat, makan, minum, letih dan binasa. Hal yang demikian semuanya tidak boleh disandarkan atau dinisbahkan kepada Allah.

Point kedua dan ketiga ini adalah merujuk kepada firman Allah:
”tiada sesuatupun yang menyerupai Allah” (As-Syura:11)

KEEMPAT: Allah Taala bersifat dengan segala sifat kesempurnaan.

Bagaimana JIWA yang menyembah Allah?

Jiwa yang menyembah Allah adalah Jiwa yang cinta, rindu, asyik serta merasai perasaan “kebersamaan” atau Muraqabah” dengan Allah dan Allah bersama kamu dimana sahaja kamu berada.

"Dan Allah bersama kamu dimana sahaja kamu berada" (Al-Hadid:4)

Bagaimana ROHANI yang menyembah Allah? 

Rohani yang menyembah Allah adalah Rohani yang sentiasa “memandang” atau Mursyahadah kepada Allah.

"Maka kemanapun kamu menghadap maka disitulah ‘wajah’ Allah. Sesungguhnya Allah Maha luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui”.(Al-Baqarah: 115) 


Dimanakah kita? Justeru itu, pengajian kitab tauhid adalah proses Mentauhidkan Allah pada martabat akal, supaya akal kita mendapat faham yang betul akan ketuhanan Allah. Jangan terhenti kepada pengajian teori sahaja, tapi terjun lalui proses pemindahan maklumat di Akal kepada Jiwa. Proses itu dipanggil Mujahadah, Zikir, Amal Ibadah, Selawat, Bacaan Al-Quran dan sebagainya. 

Sebaiknya proses demikian dibawah bimbingan seorang Guru Murabbi. Dari Jiwa kepada Rohani. Inilah dasar pengajian kami. Membawa manusia kepada jiwa bertauhid bukan hanya akal bertauhid.

Tuesday 8 September 2015

Bicaraku Santai Syariat & Hakikat - 2

Bicara yang kedua pula, bila sebut Allah syariat hakikat, Allah mana yang kah kita sembah? kalau syariat ni adalah alif lam lam ha. huruf. kita tidak menyembah huruf alif lam lam ha. Kita menyembah zat yang bernama Allah.

Lafzu Jalalah

Kalau di kenali Allah itu hanya pada martabat huruf, sudah pasti ia baharu. kita tidak menyembah benda yang baharu. Kita menyembah zat yang qodim yakni Allah. Itu hakikatnya. Zat yang wajib al wujud yang bernama Allah. Akan tetapi kita tak dapat mencapai  pengenalan Zat, tak boleh Nampak atau tampak akan zat Allah. Jika tidak boleh, bagaimana mahu mengenal? Firman Allah:

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah (Surah Muhammad :19)

Hamba mengenal melalui sifat-sifat Allah yang Allah Taala ceritakan dalam Al-Quran seperti sifat wujud, qidam baqa’ yang akan diperhalusi kelak. Hamba mengenali pada martabat sifatNya. SifaNya yang Maha penyayang, sifatNya yang Maha pengasih. Hamba kenali dan tenggelam akan sifat-sifat Dia. Baik, Oleh kerana itulah dalam bermakrifat, hamba wajib berinteraksi dua hala,  Syariat dan Hakikat.

Hamba kenali Allah bukan sahaja pada martabat syariat, hamba  juga kenali Allah pada hakikatnya. Jiwa hamba wajib mengenal bukan akal cuma yang mengenaliNya.
Sekarang diskusi interaksi hamba dalam kehidupan, tatkala kita menyebut dalam kehidupan ini,  hamba mesti ingat dalam dunia ini adalah alam syariat maka kita tak lari dari syariat, dan syariat yang mana hamba ikut?, syariat Nabi muhammad s.a.w.

Kenapa kita mesti berhubungan syariat dan hakikat kerna Syariat dan hakikat adalah perjalanan Baginda saw. Juga, kerana diri hamba bukan diri syariat sahaja, diri yang kita pegang ini. Perhatikanlah ! hamba juga ada aspek rohani, aspek jiwa yang Allah berikan kepada kita. Jiwa atau diri yang merasa sedih, merasa rindu, cinta, merajuk.  Semua ini, bukan jasad yang rasa. Sekiranya hamba belah jantung jasad ini, pasti perasaan cinta itu tidak nampak melainkan gelap gelita.   

Ya, kita bersetuju hamba itu adalah roh dan jasab. Syariat adalah pakaian jasad, hakikat pakaian roh. Maka ikutilah  syariat Nabi yang para fuqaha menamakan ilmu fiqh. Belajar akan ia sekadarnya supaya kita berada dalam syariat yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
Manakala yang disuruh oleh para ulama’ dari segi hakikatnya pula adalah penyucian batin, penyucian jiwa dari sifat-sifat tercela misalnya ujub, takabur, riak, sombong dan sebagainya.
Saya ada menerima persoalan, “orang solat pakai niat sahaja kerana dia mendakwa sudah mencapai hakikat’

Fahamilah ! Siapakah manusia yang paling mencapai hakikat? tak lain dan tak bukan melainkan Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah tidak pernah mengabaikn syariat. Ingat molek. Manusia yang paling makrifah kepada Allah, manusia yang paling kenal Allah. Tetapi Nabi solat, puasa, zakat dan haji serta ibadah-ibadah sunat yang lain. Adakah kita lebih hebat dari Nabi?

Mendakwa sudah sampai hakikat sehingga hilang syariat adalah perjalanan yang batil!. Ada satu lagi kisah yang diceritakan kepada saya, seorang lelaki datang kepada seorang gadis dan lelaki itu mendakwa sudah terbuka di alam sana bahawsanya ‘awak isteri saya maka kita dianggap suami isteri yang sah.

Apa saya jawab? Saya jawab, kalau betul lah lelaki itu nampak awak itu isteri dia di alam sana, dia tetap wajib  melalui jalan syariat, maksudnya dia mesti berjumpa Ibubapa ,merisik, tunang dah kahwin seperti kebiasaan orang-orang. Ini kerana wajib ade aspek syariah barulah ijab dan Kabul yang mengesahkan awak berdua sebagai suami dan isteri.

Sekiranya hanya hakikat sahaja (itupun jika benar petunjuk lelaki itu) maka rosak dan bahaya terhadap golongan wanita. Sudahlah wanita mudah termakan pujuk rayu orang yang disayangi ditambahlagi hujah hakikat bagai-bagai. Hatta ini juga berlaku kepada wanita pemakai purdah. Hampir-hampir berlaku perkara tidak elok!.  Nasib sempat merujuk kepada yang ahli.

Jawab saya lagi, ‘awak beritahu kepada lelaki tersebut, kalau bermaksud hendak ‘mengorat’, gunalah ayat-ayat yang lain. Ini alaf baru. Jangan fitnahkan agama untuk cinta wanita’. 

Kenapa berlaku demikian? Ia berlaku kerana dia tak tampak kesepaduan antara syariat dan hakikat. Demikian  juga orang yang beramal ibadah sehingga dia mendakwa dia sudah menjadi Allah. Ini  pun tidak boleh. Sejauh tinggi bagaimanapun makrifah kita, kita takkan  bersatu menjadi Allah. Kerna kita adalah baharu sementara  Allah, Tuhan yang Qadim.  
Yang baharu tidak akan menjadi qadim dan yang qadim takkan menjadi baharu. Ini asas dalam akidah. Bagaimana persaaan kebersamaan dengan Allah? Kita rasa bersama dengan Allah adalah rasa perasaan bukan iktikad.  Firman Allah :

Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Qs. Al-Hadid :4)

Bila beramal kerna hendak jadi Allah, itu lah bermula kekeliruan. Bila jadi Allah, habis syariat tiada. Allah tak solat  ,tak puasa. Lalu dia pon menuruti hal ehwal Ketuhanan yang sama tidak solat dan puasa. Alasan? Sebab sudah jadi Allah. Nauzubillah Min Zalik.  

Untuk mengenal perjalanan tasauf yang dibawa itu benar  ataupun tidak, lihat ia  berdiri atas syariat atau tidak. Jika perjalanan itu meremehkan syariat, berhati-hatilah!.

Syariat dari kacamata Siapa?

Namun awas kalau kita hendak mencari guru, pertama   kita nilai aspek syariat akan tetapi syariat itu bukan dari kaca mata kita sebab kita bukan orang yang alim dalam ilmu fiqh untuk menghukumkan guru. Sungguh kita tiada kemampuan itu.

Jangan cepat latah Syaikh tidak berpegang syariat dengan kelemahan ilmu kita.
Sebagai contoh, kita berguru dan melihat guru itu menyentuh isterinya lalu  terus solat.  Dari kacamata jahil ini, tentu sekali kita akan mendakwa Guru ini sudah batal wudhu’, tak boleh tunaikan solat. Sahabat, jangan guna sisi pandang kita, kita orang jahil, org awam maka adabnya kita mesti merujuk hal ini kepada para ulamak Fiqh yang luas ilmu fiqhnya.
Oh, rupa-rupayanya itu Syaikh bermazhab Hanafi. Tiada membatalkan wudhu’ lelaki menyentuh isteri. Dalam mazhab Hanafi, samada bersyahwat atau tidak bersyahwat,  tidak batal wudhu’ sama sekali.  Berlainan kita yang bermazhab Syafie. Qiyaskan olehmu akan perkara-perkara seumpama. ilmu fiqh amat luas. Jangan bermudah-mudah menjatuhkan hukum !

Sekali ditegaskan, walaupun syariat menjadi panduan mencari mursyid akan tetapi bukan kacamata yang sempit ini menilai.

Saya yakin para pembaca sudah mendapat sedikit gambaran kenapa tulisan ini dikarang. Ia dikarang , bertujuan membawa balik perjalanan orang-orang dahulu. Syariat hebat hakikat hebat. Boleh berjuang, boleh berperang walaupun hanya bersenjatakan buluh, meskipun musuh ramai. Mereka tak nampak bilangan ramai, mereka tak nampak kehebatan lain melainkan mereka hanya merasai Allah bersama dengan mereka. Hebat bagaimana musuh, namun kita ada pertolongan Allah!. Sungguh janji Allah pasti.

Cuma persoalan sekarang, kita mungkin tidak mencukupi syarat  mendapat pertolongan Allah ataupun belum sampai masanya lagi tibanya pertolonganNya.