Tuesday 29 September 2015

Bahasa Cinta TuhanMu

Bismillahirrahmanirrahim dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sungguh, kini kita mendapat rahmat mendapat kasih sayang dengan nama sifat Allah yang Maha Pemurah. dengan sifat pemurah ini lah Dia memberi rezeki, memberi kehidupan kepada seluruh makhlukNya samada beriman atau sebaliknya.



Allah Taala tetap memberi kerana apa? kerana Allah taala ada namanya bernama ArRahman yakni  Maha Pengasih. Dia bagi apa saja. Dan Allah ada nama ArRahim yakni Maha Mengasihani yang mmberi nikmat yang khusus contohnya nikmat syurga, nikmat kemanisan iman, nikmat kebahgiaan hidup yang tidak diperolehi oleh semua manusia.
Bab rezeki atau jodoh, semua manusia diberi meskipun tidak  beriman. Allah tetap memberi kerana mereka juga hamba Allah yang Allah Taala cintai, yang Allah Taala sayangi.

Bukti kasih Sayang Allah

Ketahuilah, tidak ada bukti kasih sayang Allah yang paling besar melainkan Allah Taala sudah mengutuskan Nabi kita s.a.w di dunia ini untuk memperkenalkan dirinya kepada kita untuk menyebarkan tauhid kepada umat manusai dan menyebarkan apa yang belum  disebarkan oleh nabi-nabi sebelum ini iaitu cara hidup yang menyeluruh.

Inilah yang dibawa oleh Nabi. Sekiranya kita bertanya lagi, ’ apa bukti Allah sayang kepada kita. Katakan lah ‘Allah taala telah utuskan Nabi sebagai rahmat kepada sekelian alam.

Allah Taala berfirman:

“Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekelian alam” (Al Anbiya’: 107)

Saya, alam dan sesiapa sahaja akan mendapat rahmat Allah sama ada dia melayu, cina atau yahudi sekalipun apabila mereka mengikut Baginda s.a.w. ya, mereka mengecapi nikmat ArRahman. dan dengan  nama ArRahman jua, kasih sayang Allah lebih luas dari murkaNya.  Kita kena ingat sebab itu bila kita hidup ini kita mesti yakin akan kasih sayang Allah.  Bagaimana perolehinya? Melalui pengisian tauhid dalam jiwa.

Sebagai contoh, orang-orang yang mahu bertaubat kepada Allah. Apabila mereka tidak yakin akan kasih sayang Allah, dia merasakan Allah tidak akan ampunkan dia. Tatkala itu, dia rasa tiada keperluan lagi bertaubat. “untuk apa bertaubat? Allah Taala tak ampunkan dosa aku juga”.
Sekilas pandang, nampak macam baik, nampak macam tawadhu’ tetapi inilah yang dikatakan tipudaya halus dalam diri dia sendiri.  Iblis mencucuk bisikan dalam jiwanya. Kerana apa dia rasa begitu? kerana dia tak yakin akan sifat kasih sayang Allah walhal Allah Taala boleh ampunkan walau sebesar lautan sekalipun, sebesar gunung sekalipun sekiranya kita benar-benar ikhlas bertaubat kepada Allah. Yakinilah,  In Sha Allah.

Taubat

Taubat sangat penting kerana ia permulaan menuju Allah. Mulakan dengan taubat yang  bersungguh-sungguh,  kalau kita bertaubat lalu terlanjur lagi melakukan kesilapan, teruskan taubat.  Sesekali, jangan kita merasakan “ah tak perlu bertaubat lagi, nanti sudah taubat, terlanjur lagi bagaiman? Seperti main-mainkan taubat, mainkan Tuhan.

Teruskan dan lazimi taubat, memang mungkin untuk kali pertama kali kedua kita bertaubat, berlaku hal ehwal malam bertaubat siang buat dosa, atau siang bertaubat malam diulangi semula dosa. Tetap teruskan taubat sehingalah Allah akan mencampakkan perasaaan hilang  gemar atau cenderung melakukan maksiat hasil kesungguhan kita bertaubat kepada Allah. Disitulah rahmat pertolongan Allah turun dalam jiwa kita hingga tercabut perasaan seronok kita kerjakan maksiat yang kita pernah nikmati dahulu.

Maka teruskan bertaubat In sha Allah, mungkin berlaku keadaan,  kita buat dosa, kemudian taubat, kemudian terbuat dosa lagi, maka taubat lagi. Yakinlah siapa tahu hikmah Allah, Allah Taala mengambil nyawa kita tatkala kita sedang bertaubat. Bukan diambil nyawa tatkala kita sedang menikmati maksiat. In sha allah wajib yakin akan rahmat  Allah. Berputus asa sesekali jangan.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar 39:53)

Dia Yang Menguasi Arasy

Firman Allah:

“Iaitu (Allah) Ar Rahman, yang menguasai Arasy” (Thoha : 5)

Guru kami menafsirkan Tuhan yang bersifat kasih sayang yang menguasai menguasai arasy dan segala pemerintahan. Dengan nama yang mencerminkan sifat Ar Rahman, Allah mentabir sekelian alam. Tiada Dia memerintah sifat al-Qahar ( yang memaksa ). Sekiranya datang al-qahar, Ia datang dari berserta Ar Rahman.

Bila disebut Allah ada nama Al-Qahar, bukan semata-mata Allah Allah bersifat mengerasi atau memaksa. Al-Qahar atau nama-nama lain datang manifestasi Ar Rahman Ar Rahim dalam pelbagai wajah. Sebagai contoh, seorang Ibu memaksa anaknya melakukan sesuatu yang baik. Paksa si ibu bukan kerana ibu itu pemaksa, tetapi kerana sayang si ibu kepada anaknya, untuk mendidik anaknya. Paksa kerana sayang. Dari sayang dan cinta akan anak, lahir paksa untuk menunjukkan manifestasi Cinta ibu kepada anak, bukan semata-mata ibu itu pemaksa.

Murka Allah ?

Sifat marah atau murka Allah tidak tergolong dalam salah satu dari Asmaul husna seperti sifat ar rahman, as-syabur, al wali dan seumpama. Sifat-sifat pengasih, penyabar, pemaaf, pemelihara itu adalah sifat-sifat yang sentiasa tetap dan kekal adanya pada zat Allah sehinggakan sifat murka atau marah Allah bukan satu sifat yang tetap bagi-Nya. Murka adalah sebahagian kepelbagaian wajah asma ar rahman ar rahimNya.

Sebagai contoh, seorang Ibu memarahi anaknya. Marah si ibu bukan kerana ibu itu pemarah, tetapi kerana sayang si ibu kepada anaknya, untuk mendidik anaknya. Marah kerana sayang. Dari sayang dan cinta akan anak, si ibu mesti memarahi untuk menunjukkan manifestasi Cinta ibu kepada anak, bukan semata-mata ibu itu pemarah. Jua, keramahan si ibu hanya sekali sekala iaitu apabila anaknya melakukan kesalahan. Kemarahan tersebut bukanlah suatu sifat yang tetap dan berdiri sendiri.
Betapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana terlalu dimanjakan ibubapa yang mungkin hanya memahami Kasih Sayang itu tiada marah.

Allah menguji hambaNya kerana sayang, Allah murka untuk menzahirkan rahmatNya yang lebih luas. Fahami bahasa cinta TuhanMu!

Dari Abu Hurairah, dari Nabi S.A.W bersabda :- "Ketika Allah telah menciptakan makhluk-Nya, Allah menulis dalam kitab-Nya, dan kitab itu ada diatas Singasana-Nya (Arasy): Sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan kemurkaan-Ku. (HR Muslim) 
Dari Ibnu Syihab, Sesungguhnya Sa'id bin al-Musayyab menceritakan kepadanya, sesungguhnya Abu Hurairah berkata : "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :- "Allah membuat kasih sayang sebanyak 100 bahagian, lalu Allah memegang 99 bahagian dan menurunkan 1 bahagian kasih sayang ke dunia, sehingga semua makhluk saling mengasihi, termasuk seekor binatang mengangkat kakinya kerana khuatir anaknya akan terpijak." (HR Muslim)


Sungguh, Kerana ArRahman seluruh kehidupan atas dunia ini mendapat nikmat dari Allah!

No comments:

Post a Comment