Tuesday 8 September 2015

Bicaraku Santai Syariat & Hakikat - 2

Bicara yang kedua pula, bila sebut Allah syariat hakikat, Allah mana yang kah kita sembah? kalau syariat ni adalah alif lam lam ha. huruf. kita tidak menyembah huruf alif lam lam ha. Kita menyembah zat yang bernama Allah.

Lafzu Jalalah

Kalau di kenali Allah itu hanya pada martabat huruf, sudah pasti ia baharu. kita tidak menyembah benda yang baharu. Kita menyembah zat yang qodim yakni Allah. Itu hakikatnya. Zat yang wajib al wujud yang bernama Allah. Akan tetapi kita tak dapat mencapai  pengenalan Zat, tak boleh Nampak atau tampak akan zat Allah. Jika tidak boleh, bagaimana mahu mengenal? Firman Allah:

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah (Surah Muhammad :19)

Hamba mengenal melalui sifat-sifat Allah yang Allah Taala ceritakan dalam Al-Quran seperti sifat wujud, qidam baqa’ yang akan diperhalusi kelak. Hamba mengenali pada martabat sifatNya. SifaNya yang Maha penyayang, sifatNya yang Maha pengasih. Hamba kenali dan tenggelam akan sifat-sifat Dia. Baik, Oleh kerana itulah dalam bermakrifat, hamba wajib berinteraksi dua hala,  Syariat dan Hakikat.

Hamba kenali Allah bukan sahaja pada martabat syariat, hamba  juga kenali Allah pada hakikatnya. Jiwa hamba wajib mengenal bukan akal cuma yang mengenaliNya.
Sekarang diskusi interaksi hamba dalam kehidupan, tatkala kita menyebut dalam kehidupan ini,  hamba mesti ingat dalam dunia ini adalah alam syariat maka kita tak lari dari syariat, dan syariat yang mana hamba ikut?, syariat Nabi muhammad s.a.w.

Kenapa kita mesti berhubungan syariat dan hakikat kerna Syariat dan hakikat adalah perjalanan Baginda saw. Juga, kerana diri hamba bukan diri syariat sahaja, diri yang kita pegang ini. Perhatikanlah ! hamba juga ada aspek rohani, aspek jiwa yang Allah berikan kepada kita. Jiwa atau diri yang merasa sedih, merasa rindu, cinta, merajuk.  Semua ini, bukan jasad yang rasa. Sekiranya hamba belah jantung jasad ini, pasti perasaan cinta itu tidak nampak melainkan gelap gelita.   

Ya, kita bersetuju hamba itu adalah roh dan jasab. Syariat adalah pakaian jasad, hakikat pakaian roh. Maka ikutilah  syariat Nabi yang para fuqaha menamakan ilmu fiqh. Belajar akan ia sekadarnya supaya kita berada dalam syariat yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
Manakala yang disuruh oleh para ulama’ dari segi hakikatnya pula adalah penyucian batin, penyucian jiwa dari sifat-sifat tercela misalnya ujub, takabur, riak, sombong dan sebagainya.
Saya ada menerima persoalan, “orang solat pakai niat sahaja kerana dia mendakwa sudah mencapai hakikat’

Fahamilah ! Siapakah manusia yang paling mencapai hakikat? tak lain dan tak bukan melainkan Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah tidak pernah mengabaikn syariat. Ingat molek. Manusia yang paling makrifah kepada Allah, manusia yang paling kenal Allah. Tetapi Nabi solat, puasa, zakat dan haji serta ibadah-ibadah sunat yang lain. Adakah kita lebih hebat dari Nabi?

Mendakwa sudah sampai hakikat sehingga hilang syariat adalah perjalanan yang batil!. Ada satu lagi kisah yang diceritakan kepada saya, seorang lelaki datang kepada seorang gadis dan lelaki itu mendakwa sudah terbuka di alam sana bahawsanya ‘awak isteri saya maka kita dianggap suami isteri yang sah.

Apa saya jawab? Saya jawab, kalau betul lah lelaki itu nampak awak itu isteri dia di alam sana, dia tetap wajib  melalui jalan syariat, maksudnya dia mesti berjumpa Ibubapa ,merisik, tunang dah kahwin seperti kebiasaan orang-orang. Ini kerana wajib ade aspek syariah barulah ijab dan Kabul yang mengesahkan awak berdua sebagai suami dan isteri.

Sekiranya hanya hakikat sahaja (itupun jika benar petunjuk lelaki itu) maka rosak dan bahaya terhadap golongan wanita. Sudahlah wanita mudah termakan pujuk rayu orang yang disayangi ditambahlagi hujah hakikat bagai-bagai. Hatta ini juga berlaku kepada wanita pemakai purdah. Hampir-hampir berlaku perkara tidak elok!.  Nasib sempat merujuk kepada yang ahli.

Jawab saya lagi, ‘awak beritahu kepada lelaki tersebut, kalau bermaksud hendak ‘mengorat’, gunalah ayat-ayat yang lain. Ini alaf baru. Jangan fitnahkan agama untuk cinta wanita’. 

Kenapa berlaku demikian? Ia berlaku kerana dia tak tampak kesepaduan antara syariat dan hakikat. Demikian  juga orang yang beramal ibadah sehingga dia mendakwa dia sudah menjadi Allah. Ini  pun tidak boleh. Sejauh tinggi bagaimanapun makrifah kita, kita takkan  bersatu menjadi Allah. Kerna kita adalah baharu sementara  Allah, Tuhan yang Qadim.  
Yang baharu tidak akan menjadi qadim dan yang qadim takkan menjadi baharu. Ini asas dalam akidah. Bagaimana persaaan kebersamaan dengan Allah? Kita rasa bersama dengan Allah adalah rasa perasaan bukan iktikad.  Firman Allah :

Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Qs. Al-Hadid :4)

Bila beramal kerna hendak jadi Allah, itu lah bermula kekeliruan. Bila jadi Allah, habis syariat tiada. Allah tak solat  ,tak puasa. Lalu dia pon menuruti hal ehwal Ketuhanan yang sama tidak solat dan puasa. Alasan? Sebab sudah jadi Allah. Nauzubillah Min Zalik.  

Untuk mengenal perjalanan tasauf yang dibawa itu benar  ataupun tidak, lihat ia  berdiri atas syariat atau tidak. Jika perjalanan itu meremehkan syariat, berhati-hatilah!.

Syariat dari kacamata Siapa?

Namun awas kalau kita hendak mencari guru, pertama   kita nilai aspek syariat akan tetapi syariat itu bukan dari kaca mata kita sebab kita bukan orang yang alim dalam ilmu fiqh untuk menghukumkan guru. Sungguh kita tiada kemampuan itu.

Jangan cepat latah Syaikh tidak berpegang syariat dengan kelemahan ilmu kita.
Sebagai contoh, kita berguru dan melihat guru itu menyentuh isterinya lalu  terus solat.  Dari kacamata jahil ini, tentu sekali kita akan mendakwa Guru ini sudah batal wudhu’, tak boleh tunaikan solat. Sahabat, jangan guna sisi pandang kita, kita orang jahil, org awam maka adabnya kita mesti merujuk hal ini kepada para ulamak Fiqh yang luas ilmu fiqhnya.
Oh, rupa-rupayanya itu Syaikh bermazhab Hanafi. Tiada membatalkan wudhu’ lelaki menyentuh isteri. Dalam mazhab Hanafi, samada bersyahwat atau tidak bersyahwat,  tidak batal wudhu’ sama sekali.  Berlainan kita yang bermazhab Syafie. Qiyaskan olehmu akan perkara-perkara seumpama. ilmu fiqh amat luas. Jangan bermudah-mudah menjatuhkan hukum !

Sekali ditegaskan, walaupun syariat menjadi panduan mencari mursyid akan tetapi bukan kacamata yang sempit ini menilai.

Saya yakin para pembaca sudah mendapat sedikit gambaran kenapa tulisan ini dikarang. Ia dikarang , bertujuan membawa balik perjalanan orang-orang dahulu. Syariat hebat hakikat hebat. Boleh berjuang, boleh berperang walaupun hanya bersenjatakan buluh, meskipun musuh ramai. Mereka tak nampak bilangan ramai, mereka tak nampak kehebatan lain melainkan mereka hanya merasai Allah bersama dengan mereka. Hebat bagaimana musuh, namun kita ada pertolongan Allah!. Sungguh janji Allah pasti.

Cuma persoalan sekarang, kita mungkin tidak mencukupi syarat  mendapat pertolongan Allah ataupun belum sampai masanya lagi tibanya pertolonganNya.

No comments:

Post a Comment