Friday 4 September 2015

Bicaraku Santai Syariat & Hakikat - 1

Alhamdulillah. Marilah pertama-tama sekali kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah dan izinnya, Allah memberi kita ruang, Allah memberi kita rahmat untuk sama-sama kita belajar berbincang dan berdiskusi akan pengajian tauhid Syariat dan Hakikat garapan Ayahanda kami. Alhamdulillah dan marilah sama-sama kita mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w kepada ahli keluarga baginda dan seluruh sahabat-sahabatnya yang terpilih dan seluruh kita ingat dan kita sedekahkan Alfatihah kepada sekelian para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah.
Alhamdulillah pada malam ini adalah malam secara rasminya kita membuka pengajian yang pertama kita mulakan dan saya harap para pembaca memahami ia.
Sungguh, perjalanan kita, kita ingin melahirkan orang-orang yang jiwanya bertauhid oleh kerana itu, kita menekankan tentang aspek kejiwaan. Berulang kali diberi penekanan aspek jiwa. Ini kerana kita tidak mahu mengulangi kesilapan-kesilapan pengajian yang hanya fokus kepada pemberian maklumat tetapi tidak ada unsur kejiwaan menyebabkan ramai manusia yang lahir pandai berilmu tapi hati mereka, batin mereka kotor penuh dengan sifat mazmumah.
Ilmu ini, wahai para pembaca sekalian merupakan cahaya. Ia ibaratkan seperti air yang jernih. Tetapi air yang jernih ini kalau kita tuangkan dalam hati yang kotor, kesannya atau natijahnya akan menjadi kotor.
Contohnya kita ada gelas dan kita ada air mineral, air mineral itu warnanya jernih suci. Kita tuang air ke dalam gelas yang kosong Air gelas itu akan tetap menjadi air yang jernih sebagaimana air dalam botol itu tadi. Tetapi berbanding dengan air yang bersih, suci yang dituangkan dalam gelas yang terdapat sisa milo, walaupun air itu jernih akan tetapi kerana bekas untuk terima itu bekas yang kotor. Nah ia menjadi air milo ia tak menjadi air yang bersih.

air jernih ke gelas yang jernih

Justeru itu, kalau orang tanya saya kenapa orang yang belajar ilmu akhlaknya tidak bagus juga kerana itulah sebabnya bukan ilmu yang salah tetapi bekas itu yang kotor. Masuk dalam jiwa itu jiwa itu kotor. Lalu natijahnya dia akan menjadi orang yang berilmu tetapi jahat akhlaknya jahat mulutnya. Banyak berlaku dunia hari ini, para ahli ilmu sendiri, orang yang belajar ilmu sendiri membawa manusia kepada kancah menyesatkan orang lain, membidaahkan orang lain, menyalahkan orang lain, tidak lagi agama itu berdiri atas akhlak kedamaian dan kasih sayang. Sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Itu point yang saya suka sebut terlebih dahulu. Sebab itulah guru dahulu-dahulu, apabila nak belajar dia kena lalu dahulu proses khidmat proses pembersihan jiwa, kena seiring supaya ilmu yang masuk ke dalam jiwa anak-anak murid itu ,anak-anak yang jiwanya sudah baik dan sedia menerima proses ilmu. Maka masuk pula cahaya nur tadi itu. Lantas ilmu itu menyebabkan dia akan jadi bertambah baik.
Akhlaknya baik dapat ilmu pula maka dia akan jadi orang yang terbaik, orang berilmu yang berakhlak. Itu proses dulu-dulu. Lantaran itu, maksudnya kita kena ikut balik tertib sebagaimana yang nabi ajarkan kepada para sahabat. Kalau kita lihat ke dalam Surah Jum’ah ayat 2, Allah Taala berfirman :
"Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang yang Ummiyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Qur'an) dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Al-Jum'ah :2)
Nabi mengajarkan mereka kitab-kitab dan ilmu hikmah yakni ilmu-ilmu yang membawa kejayaan dunia. Proses pengajaran dan didikan Nabi s.a.w ialah mengajar tauhid kemudian jiwa kemudian barulah kitab.
Baik. Kita pergi kepada tajuk. Malam ini kita syarah tajuk. Kalau kita pernah mengikuti pengajian ala madrasah tradisional, secara adab dan tradisinya para ulama’ dan tuan guru pondok akan membahaskan tajuk terlebih dahulu kerana tajuk menceritakan apa yang hendak disampaikan oleh penulis. “Kenapa kitab dinamakan faridul faraid kenapa kitab itu dinamakan Jauharah at Tauhid, kenapa kitab itu bernama sekian-sekian. Sungguh, semuanya ada maksud tertentu yang ingin dibawa oleh pengarang. Oleh itu, apabila kita memahami tajuk, keberangkalian kita sudah menangkap pengisian kitab secara umum.
Sudah pasti kita akan tertanya-tanya kenapa tajuknya Syariat dan Hakikat? tajuk dia pun maksudnya ‘wow’ orang kata kan.
Pertama apakah yang kita nak faham dari tajuk ‘syariat dan hakikat’?. Syariat hakikat, suka saya ulangi kembali istilah-istilah ini orang panggil berbeza dari segi definisi berasaskan kefahaman tarbiyah masing-masing. Syariat juga adakalanya ditakrifkan dengan ilmu fikh, adakala syariat juga dibahaskan tentang sebarang ilmu yang membahaskan ilmu yang boleh kita nampak dan tampak. Adakala merujuk kepada perbuatan misalnya seseorang berdiri sembahyang rukuk sujud dan seumpama ibadah.
Ilmu hakikat ini juga dikatakan ilmu tasawuf ataupun hakikat adalah bicara perkara yang ada dalam jiwa atau erti kata lain makna perbahasan-perbahasan dalam jiwa di nisbahkan kepada ilmu hakikat.
Syariat dan Hakikat. Digabungkan ia dengan maksud syariat & hakikat tiada berpisah. Baik. Hendaklah difahami bahawasanya ilmu Mengenal Allah ini ada pengenalan pada martabat Syariat dan hakikat Pengenalan kepada Allah pada martabat hakikat, contoh mudah sahaja, kita belajar Allah itu sifatNya berkuasa. ”wallahuala kulli syaiqadir” atas segala sesuatu Allah Maha Berkuasa. Allah kata “kun ..maka jadilah ia..” . dari segi syariat kita belajar Allah Maha Berkuasa , berkehendak tetapi dalam hakikat kehidupan kita, jiwa kita ada keyakinan akan sifat qudrat dan iradat Allah. Oleh sebab itu, kita belajar walaupun tinggi perbahasan tentang sifat Allah Maha Kehendak, Maha Bijaksana, Maha Berilmu akan tetapi kenapa dalam hidup, tiada perubahan berlaku dari segi jiwa?
Manusia masih banyak tidak yakin akan Allah, rezeki Allah, jaminan Allah, tak yakin tak redha kepada takdir Allah. Kenapa ia berlaku? kerana ilmu yang di pelajari tentang Allah hanya pada martabat syariat tak masuk kepada hakikat. Maka wajib seiring dan bersanding. Tatkala kita belajar Allah Maha Berkuasa, Hakikatnya apa ? hakikatnya kita yakin sungguh-sunguh dalam hati kita Allah itu Maha Berkuasa.
Tauhid inilah yang dibawa oleh para sahabat. Mereka terus kepada intipatinya. Lantas mereka boleh berjuang berjihad di jalan Allah kerana mereka yakin akan Allah sunguh-sungguh. Begitu juga para ulama’ dahulu. Tatkala para ulama kita datang dari tanah Arab berhijrah membawa Islam ke Tanah melayu dahulu, mereka bila berhijrah ke sini mereka tidak bertanya kepada guru mereka bagaimana keadaan umat di sana? mereka terima atau tidak dakwah kami? bagaimana rezeki kami disana?
Mereka hijrah sahaja dahulu untuk dakwah tauhid. Kerana keyakinan sungguh mereka kepada Allah. Allah Taala hantar rezeki mereka, Allah Taala mudahkan urusan mereka dakwah mereka sehinggalah mereka berjaya membawa Islam sehinggakan sampai kepada kita pada hari ini.
Begitu juga Jemaah-jemaah dakwah bila keluar 3hari ke 40 hari atau berbulan-bulan lamanya. Apabila di tasykil ataupun dibayan tazkirahnya mesti berkaitan dengan tauhid tidak ada yang berkuasa melainkan Allah. Maksudnya wajib yakin kepada Allah, wajib yakin rezeki Allah. Tatkala dapat keyakinan itu barulah dia boleh keluar jalan Allah. Kalau dia nak keluar 40 hari akan tetapi hati penuh kegusaran bagaimana keadaan anak-anak nak makan, bagaimana isteri nak makan bagaimana??
Lantaran mereka yakin akan janji Allah, Allah telah lapangkan rezeki mereka. Itu hakikatnya kita nak bincangkan, itu murad dari ilmu ini. Itu yang pertama.
Sering saya sebut berulangkali dalam kuliah-kuliah saya sebelum ini, kita jangan katakan bila kita belajar hakikat, kita nampakkan ilmu ini alam mistik, tinggi ke laut ataupun ilmu ini bercampur tapaan. Ataupun bila melalui ilmu ini, semestinya orang itu pegang tasbih 24 jam. Pakaian mesti ala-ala kewalian. Tiada apa yang berubah pakaian. kita adalah seperti kita sekarang cuma dulu jiwa kita lalai sekarang jiwa kite sudah ingat kepada Allah.
Kita tidak drastik ‘oh mesti macam ini macam ini. Tidak asalkan dari segi pakaian tutup aurat dan segi syariat asasnya terjaga. Kemudian kite mahukan hati itu ingat kepada Allah. dulu lalai sekarang hati sudah ingat. Bila sudah ingat, mahu ada cinta bila ada cinta mahu ada rindu itu lah hakikat yang kite mahu dalami sehiggalah lahir akhlak-akhlak yang baik. Akhlak batin yang baik. Dari akhlak batin yang baik itu, lahirlah akhlak perilaku zahir yang baik.
Sisi pandangan kedua Syariat & Hakikat..bersambung...

No comments:

Post a Comment